LALAI DENGAN MAKSIAT DALAM KEHIDUPAN YANG SEMENTARA
setiap jiwa manusia mengakui hakikat kematian. bahkan, orang-orang Islam pula mempercayai bahawa adanya kehidupan yang lebih baik selepas kematian. antara petunjuk yang menguatkan lagi hakikat kematian dalam diri seseorang adalah daripada kematian insan-insan di sekeliling seperti keluarganya, jirannya atau kawan-kawan yang meninggal dunia sewaktu dirinya hidup. maka itu, kematian mereka adalah cerminan terhadap hakikat bahawa dirinya juga akan menuju kematian sebagaimana mereka yang telah meninggal terlebih dahulu.
hakikat ini adalah satu kepastian, namun ramai manusia tidak mengumpul bekalan akhirat dengan ketaatan kerana memilih untuk melakukan maksiat dan terus menderhakai Allah s.w.t disebabkan oleh kelalaian mereka. sememangnya jauh di sudut hati mereka membisikkan bahawa betapa ruginya menjalani hidup tanpa ketaatan namun kerana nafsu mereka tetap sahaja melakukan dosa dan penderhakaan kepada Allah s.w.t dengan meninggalkan segala yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.
sedarlah bahawa manusia hanya tertipu dengan nafsunya sendiri kerana hakikat bahawa manusia akan mati sangatlah jelas. orang yang membina rumah bagaikan mahligai, harta yang bertimbun juga tahu bahawa dirinya tidak akan berada di dalamnya untuk selamanya. tetapi dia tetap sahaja sibuk mengumpul duniawi untuk kepentingan sendiri dan alpa daripada melakukan ketaatan dan tidak membelanjakan sebahagian hartanya untuk tujuan ibadah dan ketaatan.
masa terus berjalan kehadapan tetapi sampai bilakah kita sebagai manusia mahu teruskan melakukan maksiat diatas muka bumi yang hanya sementara. adakah anda yakin dalam masa satu hari anda tidak melakukan dosa? teruslah bertaqwa dan memohon keampunan kepada pencipta. semoga penulisan ini bermanfaat dan memberi peringatan agar menjadi manusia yang bertaqwa. insya allah.
Đăng nhận xét